Monday 27 March 2017

Perjalanan 4 penerbangan, 5 airport, 3 hari dengan baby 6 bulan

Sejak balik dari Turki, inilah trip ke luar negara pertama yang kami buat. Buat ni pun sebab balik kampung hubby di Orlando. Jadi, ini kali pertama Orhan ke luar negara. Boleh dikatakan, agak lama juga kami tak ke mana-mana, kecuali ke Kedutaan US di Kuala Lumpur untuk dapatkan Surat Beranak Lahir Luar Negara (CRBA) bagi Orhan.

Trip ini bermula pada hari Rabu jam 2 petang, kami bertolak dari Kota Bharu dan transit di Kuala Lumpur. Tidur kejap di KL sebab tak nak direct terus ke Orlando. Kalau saya dengan hubby sahaja, tiada masalah. Tapi sebab ada budak umur 6 bulan ni, kena juga rest sikit. Saya overnight di AirBnB milik Tuan Sazali yang jaraknya cuma  7 minit memandu sahaja. Tuan Sazali jemput kami di KLIA sebaik tiba jam 5 petang, dan esoknya beliau juga hantar kami ke airport. Kos pengangkutan cuma RM 30 per trip. Jika anda nak transit di KLIA, boleh sahaja sewa fully furnished rumah beliau, lagipun rumahnya ada restoren dan termasuk breakfast siap boleh hantar ke bilik/rumah juga.

Dari Kuala Lumpur, kami transit lagi di Guangzhao selama 2 jam. Kemudian transit lagi di New York selama 6 jam setengah. Pada hari Jumaat jam 11.30 malam waktu Malaysia, barulah kami tiba di Orlando!

Hampir 3 hari perjalanan barulah sampai rumah atuknya di Oviedo, Orlando ni. Punyalah jauh ye dok. Letih mok mu pikul budak mukmuk ni.

Awalnya saya memang bimbang bab nak travel jauh dengan baby. Maklumlah, buatnya dia menangis tahap dewa dalam flight, airport dan sebagainya memang haru jugaklah. Tapi lepas baca tip-tip dan perkongsian dari mereka yang berpengalaman, Alhamdulillah, boleh dikatakan trip ini berjaya.

Orhan hanya menangis bila diletak dalam bassinet!

Memang dia tak suka duduk dalam bassinet. Jadi terpaksalah pegang dan riba sepanjang perjalanan.

Ini yang saya prepare sebelum perjalanan supaya ianya agak smooth, mungkin berguna untuk anda yang nak travel dengan baby juga:

  • Bekalan makanan baby secukupnya. Saya beli yang ready to eat oleh Heinz, yang dalam botol tu. Ada jual di supermarket. Ada juga saya bawak pek puree buah Heinz. Selain tu, ada bekalan makanan baby Nestle Cerelac. Biskut baby pun saya bawa. Teething biskut pun bawa. Ini semua untuk makan sepanjang perjalanan. Makanan baby boleh kita request sehingga 24 jam sebelum penerbangan, tapi saya tak buat pun sebab dah sediakan sendiri.
  • Bekalan susu formula baby secukupnya.
  • Stroller dan baby carrier. Saya naik penerbangan Malaysia Airlines untuk Kota Bharu – Kuala Lumpur. Yang ni stroller kita boleh bawa masuk kabin (sebab cabin size stroller bila dilipat). Baby carrier tu spare kot-kot stroller tak dibenarkan bawa masuk kabin, jadi kita boleh letak baby untuk pikul lepas keluar pesawat nanti. Nasib baik kami bawa baby carrier, sebabnya kami tak boleh bawa stroller ke kabin untuk flight dari Guangzhao ke New York (penerbangan China Southern Airline) dan stroller kena ambil bersama luggage. Entah kenapa, tak pasti. Jadi susah jugaklah kalau tak ada baby carrier ni. Tambahan pula kena beratur panjang sebelum lepas imigresen. Penerbangan Jet Blue (New York ke Orlando) pula okay je, boleh bawa ke kabin dan kalau tinggal kat gate pun, boleh ambil di gate juga.
  • Cukup lampin pakai buang dan wet wipes.
  • Termos untuk isi air panas dan botol air untuk susu (sebenarnya Orhan ni dah partially breastfeeding sebab dia kuat menyusu, jadi tak sempat supply). Kena juga topup dengan formula milk. Air panas tu boleh minta dengan pramugari/ra dalam kapal terbang.
  • Jaket baby sebab dalam flight selalunya sejuk
  • Bantal yang disediakan dalam pesawat tu ambil semua sebab nanti senang nak riba baby untuk menyusu.
  • Baju secukupnya. Saya bawa 7 pasang baju untuk pakai sepanjang perjalanan (ye lah, tiga hari perjalanan kan..tak nak lah nanti dah sampai bau susu masam yang lekat di baju tu).

Itu je lah dulu perkongsian sikit sebanyak untuk kali ni. Nak sambung tidur, kami semua masih kena jet lag.

The post Perjalanan 4 penerbangan, 5 airport, 3 hari dengan baby 6 bulan appeared first on Travelog.my.



No comments:

Post a Comment