Friday 17 February 2017

Trip pertama dengan Orhan – nasib baik dia tak meragam

Sabtu lepas, kami terpaksa ke Kuala Lumpur untuk uruskan pendaftaran kelahiran bayi di luar negara (ayah dia warga USA, jadi anaknya nak didaftar lahir luar US). Kena buat di Kedutaan Amerika Syarikat di Ampang. Ini kali kedua saya ke kedutaan. Kali pertama, masa nak buat Visa B1/B2 untuk ke USA pada tahun 2013.

Jadi, ini trip pertama bagi Orhan yang baru berusia 5 bulan setengah. Mulanya, saya agak bimbang sebab tak ada pengalaman terbang dengan bayi. Alhamdulillah dia tak menangis. Tapi sepanjang perjalanan ke Kuala Lumpur tu, muka dia memang nampak sangat berfikir. Hehehe Mungkin dia pun hairan, “ke manalah mama dan daddy nak bawak aku ni”.

Kami bertolak dari Pengkalan Chepa jam 9.20 pagi dengan Malindo Air, dan tiba di KLIA jam 10.20 pagi. Masa nak take off tu, bagi dia hisap jari dia supaya tak rasa berdengung. Masa landing, dia tidur. Whew…lega.

Elok je sampai rumah kakak saya di Semenyih, terus dia tidur dan hanya terjaga selepas jam 4. Lama jugak lah dia tidur tu.

Bukan selalu saya ke Selangor atau Kuala Lumpur, kecuali jika ada urusan sahaja. Jadi, alang-alang dah ke sana, kami buat mini gathering dengan adik beradik yang berdekatan. Adik saya masakkan Korean Spicy Chicken Wings 60 ketul untuk ditibai beramai-ramai. Saya pulak celur brokoli dan masak nasi. 😉

Lepas 1 malam di rumah kakak di Semenyih, kami ke Kuala Lumpur pada petang Ahad dan menginap di Double Tree Hilton di Intermark. Menginap di situ sebab ianya dekat dengan Kedutaan US. Saya tak ada apa nak review tentang Double Tree Hilton, sebab review tentang hotel ini sudah ada banyak sangat di internet. Biliknya okay, makanannya pun okay, servis juga pantas. Sebelum check in pula, kami diberikan upgrade percuma dan dapat akses ke Executive Lounge di tingkat 34. Rezeki jangan ditolak. Kelebihannya, dapat pilih nak breakfast samada di Makan Kitchen (buffet) atau breakfast di Executive Lounge, selain minuman ringan, snek, kopi yang tersedia sepanjang hari. Ada juga makan malam disediakan.

Esoknya kami ke Kedutaan US. Naik teksi, caj RM6.40 je sebab dekat sangat. Hairan saya, boleh dikatakan tak ada orang pun masa saya tiba. Lepas hampir 30 minit, barulah ada 2 pasangan lain yang nak apply visa/CRBA untuk anak mereka, dan 3 orang tempatan untuk apply visa, 2 warganegara USA yang nak berurusan dengan consular office. So memang tak ramai langsung. Berbeza dengan waktu pertama kali saya ke sana dulu, sampaikan nak duduk pun susah sebab orang terlalu ramai. Mungkin faktor Trump dan isu ban kot yang jadikan orang tak berapa nak pergi ke US. Mungkin..itu yang saya fikir lah. Betul atau tidak, allahu a’alam.

Settle semua urusan di kedutaan, balik hotel dan plan jumpa kawan lama. Dia kata, dia ni die hard fan Orhan, kawan sekelas Diploma Perakaunan di UiTM Machang dulu, Munee dan Sam. Kalau ikut kiraan saya, dah dekat 10 tahun kot tak jumpa dorang ni. Punya banyak nak diceritakan, sampaikan tak habis. Sudahnya hanya summary je lah kita cerita. Sam tu pun ada baby juga, baru umur 6 bulan lebih. Sebulan lebih tua berbanding Orhan.

Overall, untuk short trip dengan baby ni tak adalah susah sangat pun. Kira okay lah, cuma dia tak berapa selesa nak menyusu badan sahaja. So saya kena pump siap-siap letak dalam botol supaya dia tak lapar.

Ni duk berfikir, macam manalah nak pergi Amerika Syarikat tak lama lagi, kalau dia tak nak menyusu badan sepanjang perjalanan. Kalau dekat macam Kota Bharu ke Kuala Lumpur yang tak sampai 3 jam trip (dari rumah ke hotel), tak apa. Cukup bekal 1 botol susu je pun. Ni nak ke USA, mau cikai-cikai pun 33 jam… apapun semoga trip nanti dipermudahkan Allah.

 

The post Trip pertama dengan Orhan – nasib baik dia tak meragam appeared first on Travelog.my.



No comments:

Post a Comment